Thursday, February 28, 2013

Saudah Binti Zam'ah (Ibu Orang-orang Beriman)

             Ummul Mukminin Saudah Binti Zam'ah merupakan isteri Rasulullah SAW yang dikahwini oleh Baginda SAW selepas pemergian Ummul Mukminin Khadijah Binti Khuwailid. Para sahabat selalu memperhatikan Rasulullah SAW yang hidup bersendirian sepeninggalan Khadijah R.A. Mereka menginginkan Rasulullah SAW berkahwin lagi supaya ada orang yang mendampingi hidup Baginda SAW. 
          Khaulah Binti Hakim maju ke hadapan mengemukakan idea itu dan dia mengusulkan Aisyah R.A namun Aisyah R.A masih muda. Bagaimanapun ia mahu meminang Aisyah R.A untuk Nabi SAW, cuma menunggu masa sahaja hingga Aisyah R.A sampai kepada usia untuk berumahtangga. Rasulullah SAW mengizinkan Khaulah untuk meminang Aisyah R.A dan Saudah R.A. Setelah mendapat persetujuan, perkahwinan mulia ini pun berlangsung. Saudah R.A menjadi isteri Nabi SAW secara rasmi. Dia selalu membantu menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga dan menyediakan segala keperluan Nabi SAW. Dahulu Saudah berhijrah ke Habsyah bersama suaminya untuk menyelamatkan agamanya. Kemudian suaminya meninggal dunia di sana dan dia menjanda di sana sebelum pulang ke Mekah. Setelah Aisyah mengahwini Nabi SAW, Saudah R.A cukup memahami kehadiran Aisyah R.A di hati Baginda SAW. Kerana itu ia memberikan hari gilirannya kepada Aisyah R.A. 
        Saudah R.A tetap ingin menjadi isteri Rasulullah SAW di dunia dan akhirat, walaupun dia memberikan hari gilirannya kepada Aisyah R.A setelah dia merasakan tidak lagi memiliki keinginan sebagai mana yang dimiliki wanita tambahan pula usianya yang sudah tua. Aisyah R.A selalu teringat perbuatan-perbuatan Saudah R.A dan kebaikan-kebaikannya hingga dia berkata, "Tiada seorang pun yang aku ingin berada dalam selimutnya selain Saudah R.A hanya saja dia berwatak keras." Ketika Saudah R.A meninggal dunia, Ibnu Abbas RA bersujud ke bumi dan ketika dia ditanya tentang perbuatannya itu, dia menjawab Rasulullah SAW bersabda, "Apabila kamu melihat suatu ayat maka bersujudlah!" Maka manakah ayat yang lebih besar daripada wafatnya isteri-isteri Nabi SAW?" Saudah R.A meninggal dunia ketika pemerintahan Saidina Umar AL-Khattab RA
       

Sunday, January 6, 2013

Wanita Penzina Yang Bertaubat

          Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita dari kaum Hujainah yang hamil kerana perbuatan zina. Lalu dia berkata: "Wahai Rasulullah, telah berlalu suatu hukuman bagiku maka laksanakanlah hukuman itu atas diriku." Lalu Rasulullah SAW memanggil seorang wali wanita itu serta berkata: "Perlakukanlah dengan cara yang baik terhadap wanita ini, jika dia telah melahirkan, bawalah dia kepadaku." Maka wali itu melaksanakannya. Maka setelah tiba saatnya, Rasulullah SAW mengikat tangan wanita itu dengan pakaiannya kemudian memerintahkan kepada para sahabat supaya merejamnya. Akhirnya wanita itu menghembuskan nafas yang terakhir.
      Setelah itu, Rasulullah SAW menyembahyangkan mayat wanita itu. Kemudian Umar RA berkata kepada Rasulullah SAW: "Mengapa engkau menyembahyangkan jenazah wanita itu wahai Rasulullah padahal dia telah berzina?" Maka Rasulullah SAW menjawab: "Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan betul-betul taubat, aidaikata taubatnya itu dibahagi-bahagikan diantara tujuh puluh orang penduduk Madinah, tentu taubatnya itu sanggup untuk menutupi kesalahan mereka semua. Apakah engkau pernah mendapatkan suatu taubat yang lebih utama jika dibandingkan dengan wanita itu yang menyerahkan nyawanya kepada Allah?"

Begitulah balasan kepada orang yang betul-betul bertaubat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
"Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka kejahatan mereka itu akan diganti dengan kebaikan." (Surah Al-Furqan:70)


Saturday, December 15, 2012

Siapakah Isteri Yang Paling Rasulullah SAW Sayangi?


     Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda SAW datang menemui Baginda SAW, Aishah ra yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda SAW tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda SAW menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.
     Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda mengikut giliran dan sebelum Baginda meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.
Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda berkumpul kerana Baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan. Rasulullah SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah SAW kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.

Monday, December 10, 2012

Romantiknya Rasulullah SAW


Disikatkan oleh isteri
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya biasa menyikat rambut Rasulullah s.a.w, ketika itu saya sedang haid.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Minum bergantian pada tempat yang sama
Daripada Aisyah r.a., dia berkata: “Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda s.a.w minum, kemudian saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup isinya, kemudian Baginda s.a.w mengambilnya dari saya, lalu Baginda s.a.w meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda s.a.w pun menghirupnya. ” (Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Manshur)
Mandi bersama isteri
Dari Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku biasa mandi bersama Nabi s.a.w. menggunakan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana tersebut).” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)
Memberi wangi-wangian pada aurat
Aisyah berkata, “sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda s.a.w akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda s.a.w meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Meminta isteri meminyaki badan
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah s.a.w. pada hari Raya ‘Aidil Adha’ setelah beliau melakukan jamrah aqabah.” (Hadis Riwayat Ibnu ‘Asakir)




Thursday, June 21, 2012

Pentingnya Redha Suami

         Pada Suatu hari,  puteri kesayangan Rasulullah saw iaitu Saidatina Fatimah Az-Zahra' telah menyebabkan suaminya Saidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Saidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya itu tidak juga berubah lalu dengan berlari-lari dia mengelilingi Saidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Saidina Fatimah itu, tersenyumlah Saidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.
         "Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu,". Rasulullah saw memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai  ke pengetahuan baginda saw. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah swt sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami.
      Apa yang dilakukan oleh Saidatina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain karenah yang menyusahkan Saidina Ali. Begitupun Rasulullah saw tetap berkata begitu kepadanya meskipun Saidatina Fatimah merupakan puteri kesayangan baginda. Bagaimana dengan kita wahai isteri-isteri? renungkan...

Tuesday, June 12, 2012

Keistimewaan Ummul Mukminin Khadijah RA

     Khadijah ra merupakan wanita pertama yang dikahwini oleh Rasulullah saw. Malah Rasulullah saw tidak mempunyai isteri lain sepanjang hidup bersama Khadijah ra. Khadijah ra juga melahirkan putera dan puteri Rasulullah saw seramai 7 orang. 
     
      Rasulullah saw sangat menyayangi Khadijah ra hinggakan baginda pernah bersabda: “Dia adalah seorang wanita yang terbaik, kerana dia telah percaya dan beriman kepadaku di saat orang lain masih dalam kebimbangan, dia telah membenarkan aku di saat orang lain mendustakanku, dia telah mengorbankan semua harta bendanya ketika orang lain mencegah kemurahannya terhadapku, dan dia telah melahirkan bagiku beberapa putera-puteri yang tidak ku dapatkan dari isteri-isteri yang lain”.

    Ketika Jibril as datang kepada Nabi saw, dia berkata :”Wahai, Rasulullah, inilah Khadijah telah datang membawa sebuah wadah berisi kuah dan makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan salam kepadanya dari Tuhannya dan aku, dan beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di syurga dari mutiara yang tiada keributan di dalamnya dan tidak ada kepayahan.” 
     
         Tatkala peristiwa penurunan wahyu pertama, Rasulullah saw ditenteramkan oleh Khadijah ra dan beliau mempercayai apa yang diceritakan oleh Rasulullah saw. Khadijah juga wanita pertama beriman kepada ajaran yang dibawa oleh suaminya saw.

          Kematian Khadijah sangat memberi kesan kepada baginda hingga tahun kematian itu digelar tahun kesedihan tambahan pula bapa saudara Nabi saw iaitu Abu Talib juga pergi buat selama-lamanya.

Saturday, June 9, 2012

Larangan Memakai Rambut Palsu

Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah saw, katanya:
      "Ya Rasulullah, saya mempunyai seorang anak perempuan remaja yang telah diserang penyakit demam campak yang menyebabkan rosak atau gugur rambutnya, adakah boleh saya memakaikannya dengan rambut palsu?" Rasulullah saw menjawab: " Allah mengutuk perempuan yang  menjadi tukang rambut palsu dan perempuan yang memakai rambut palsu." (HR. Bukhari dan Muslim)

Daripada Hamid bin Abd Rahman bin Auf beliau telah mendengar Muawiyah berucap di musim haji di atas suatu mimbar sambil beliau mencapai seikat rambut daripada tangan seorang pengawal, katanya:
         "Hai penduduk kota Madinah, di manakah ulama'-ulama' kamu? Saya telah mendengar Rasulullah saw melarang perbuatan seumpama ini sabdanya: "Sesungguhnya kemusnahan Bani Israel (bangsa yahudi) itu ketika kaum wanitanya memakai (rambut palsu)."  (HR. Bukhari dan Muslim)                     

                                (imej hiasan shj)