Thursday, February 28, 2013

Saudah Binti Zam'ah (Ibu Orang-orang Beriman)

             Ummul Mukminin Saudah Binti Zam'ah merupakan isteri Rasulullah SAW yang dikahwini oleh Baginda SAW selepas pemergian Ummul Mukminin Khadijah Binti Khuwailid. Para sahabat selalu memperhatikan Rasulullah SAW yang hidup bersendirian sepeninggalan Khadijah R.A. Mereka menginginkan Rasulullah SAW berkahwin lagi supaya ada orang yang mendampingi hidup Baginda SAW. 
          Khaulah Binti Hakim maju ke hadapan mengemukakan idea itu dan dia mengusulkan Aisyah R.A namun Aisyah R.A masih muda. Bagaimanapun ia mahu meminang Aisyah R.A untuk Nabi SAW, cuma menunggu masa sahaja hingga Aisyah R.A sampai kepada usia untuk berumahtangga. Rasulullah SAW mengizinkan Khaulah untuk meminang Aisyah R.A dan Saudah R.A. Setelah mendapat persetujuan, perkahwinan mulia ini pun berlangsung. Saudah R.A menjadi isteri Nabi SAW secara rasmi. Dia selalu membantu menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga dan menyediakan segala keperluan Nabi SAW. Dahulu Saudah berhijrah ke Habsyah bersama suaminya untuk menyelamatkan agamanya. Kemudian suaminya meninggal dunia di sana dan dia menjanda di sana sebelum pulang ke Mekah. Setelah Aisyah mengahwini Nabi SAW, Saudah R.A cukup memahami kehadiran Aisyah R.A di hati Baginda SAW. Kerana itu ia memberikan hari gilirannya kepada Aisyah R.A. 
        Saudah R.A tetap ingin menjadi isteri Rasulullah SAW di dunia dan akhirat, walaupun dia memberikan hari gilirannya kepada Aisyah R.A setelah dia merasakan tidak lagi memiliki keinginan sebagai mana yang dimiliki wanita tambahan pula usianya yang sudah tua. Aisyah R.A selalu teringat perbuatan-perbuatan Saudah R.A dan kebaikan-kebaikannya hingga dia berkata, "Tiada seorang pun yang aku ingin berada dalam selimutnya selain Saudah R.A hanya saja dia berwatak keras." Ketika Saudah R.A meninggal dunia, Ibnu Abbas RA bersujud ke bumi dan ketika dia ditanya tentang perbuatannya itu, dia menjawab Rasulullah SAW bersabda, "Apabila kamu melihat suatu ayat maka bersujudlah!" Maka manakah ayat yang lebih besar daripada wafatnya isteri-isteri Nabi SAW?" Saudah R.A meninggal dunia ketika pemerintahan Saidina Umar AL-Khattab RA