Monday, May 14, 2012

GURAUAN ANTARA AISYAH RA & SAUDAH RA

            Aisyah adalah isteri Rasulullah yang paling muda. Oleh sebab masih remaja, maka sifat keanak-anakan beliau kadang-kadang jelas kelihatan.
Pada suatu ketika, Aisyah bercerita, Nabi Muhammad s.a.w dan madu Aisyah, Saudah binti Zam’ah ada bersama-samanya. Maka Aisyah pun memasak sejenis makanan bergelar khazir.
           Aisyah membawa makanan itu kepada mereka dan menyuakannya pada Saudah. Katanya pada Saudah, “Makan, wahai Saudah.” Saudah menjawab, “Aku tidak sukakan makanan ini.”
Aisyah pantas berkata, “Demi tuhan, kau harus makan makanan ini wahai Saudah. Jika tidak akan kulumur mukamu dengannya. Saudah membalas, “Aku tidak akan memakannya.”
Aisyah dengan spontan mengambil sedikit makanan itu daripada dalam bekas dan dilumurkannya pada muka Saudah, sedangkan pada waktu yang sama Rasulullah sebenarnya sedang duduk antara Aisyah dan Saudah.
          Melihat kenakalan Aisyah, Rasulullah s.a.w merendahkan dirinya supaya Saudah boleh membalas. Saudah terus mengambil bahagian daripada makanan tersebut dan melumurkannya pada muka Aisyah pula.
Rasulullah s.a.w hanya tertawa melihat kejadian itu.

Thursday, March 8, 2012

Nasihat Seorang Wanita Jelita Menyedarkan Hasan Al-Basri

          Hasan Al-Basri ketika zaman mudanya kelihatan bagus dan tampan, lebih-lebih apabila memakai pakaian mahal. Beliau sering berjalan-jalan sekeliling kampung di kota Basrah kerana sangat senang berdasarkan keindahan dan ramai penduduk tinggal di kota itu.
Pada suatu hari, ketika Hasan berjalan, secara tiba-tiba beliau melihat seorang wanita cantik.
Melihat wanita cantik itu. Hasan berjalan mengikutinya. Wanita itu menoleh, sambil berkata kepadanya: “Apakah engkau tidak malu?” Jawab Hasan: ”Malu pada siapa?” Wanita itu berkata. “Malu kepada Zat Yang Maha Mengetahui, mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam hati.”
                                            (hiasan)
         
        Tertanam rasa cinta di dalam hati Hasan terhadap wanita itu sehingga tidak sabar dan tidak boleh menguasai nafsunya, akhirnya ia terus mengikuti di belakang wanita itu. Wanita itu berkata lagi kepadanya: “Mengapa engkau mengikuti aku?” Jawab Hasan: “Sungguh, aku terpesona dengan pandangan matamu itu.” Wanita itu berkata: “Tunggulah di sini, nanti akan aku kirim apa yang engkau kehendaki.” Hasan beranggapan wanita itu menaruh cinta kepadanya, sebagaimana dia jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu di tempat itu.
        Tidak beberapa lama kemudian, datanglah seorang pelayan wanita cantik itu kepadanya membawa bekas bertutup sehelai sapu tangan. Ketika Hasan membuka tutup bekas itu, ternyata dua mata wanita itu ada di dalamnya. Melihat hal sedemikian, maka pelayan terbabit berkata. “Sungguh tuan puteri berkata: “Aku tidak ingin mata yang memuatkan fitnah dan mempesonakan orang.” Sebaik Hasan mendengar kenyataan ucapan daripada pelayan wanita itu, dia gementar dan berdiri bulu romanya, lalu memegang janggutnya dan berkata kepada dirinya: ”Celaka engkau, sebab sudah berjanggut mengapa tidak malu terhadap wanita cantik itu.”
          Dia pun menyesal dan bertaubat pada saat itu sebelum pulang ke rumahnya dan menangis semalaman. Keesokan paginya, Hasan ke rumah wanita itu untuk meminta maaf segala kesalahannya. Sebaik tiba di rumah wanita berkenaan, rumahnya tertutup dan mendengar suara tangisan wanita dari dalam rumah itu. Akhirnya, beliau pun bertanya apa yang berlaku. Dikatakan bahawa pemilik rumah itu meninggal. Hasan kembali ke rumahnya dan menangis selama tiga hari.
       Pada malam ketiga, dia bermimpi melihat wanita cantik itu sedang berada di dalam syurga. Hasan berkata kepada wanita itu dalam mimpiya. “Hai wanita yang cantik, maafkan olehmu semua kesalahanku.” Jawab wanita itu. “Sungguh, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh kebaikan daripada Allah sebab engkau.” Hasan berkata, “Berikanlah kepadaku akan nasihatmu.”  “Kalau engkau sendirian, berzikirlah atau ingatlah kepada Allah. Dan pada setiap pagi mahupun petang, beristighfar memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya.” kata wanita berkenaan.
         Mendengar nasihat daripada wanita itu, Hasan menerima dan melaksanakan hingga dia menjadi orang yang masyhur di kalangan masyarakat dengan zuhud dan taatnya kepada Allah.    Akhirnya, dia pun memperoleh darjat tinggi dan mulia serta menjadi seorang wali dan kekasih Allah. 

Sunday, February 19, 2012

PINGGAN DIGANTI PINGGAN

Beberapa orang sahabat termasuk Anas Bin Malik  sedang berkumpul bersama-sama Rasulullah SAW di bilik Ummul Mu'minin Aisyah ra. Sebentar kemudian datang satu pinggan penuh makanan yang dikirim oleh Ummu Salamah ra iaitu madu Aisyah ra. Isinya roti dan daging. Rasulullah SAW menyuruh para sahabat makan makanan itu, mereka pun makanlah. Sementara Aisyah ra sendiri sedang sibuk memasak makanan tetapi telah didahului oleh Ummu Salamah ra. Tidak lama kemudian makanan yang dibuat oleh Aisyah ra pun masak. Aisyah menghidangkan makanan yang dibuatnya sendiri dan mengangkat pinggan yang dihantar oleh Ummu Salamah ra. Tiba-tiba Aisyah ra memecahkan pinggan milik Ummu Salamah ra hingga berkecai. "Sila makan. Ibu kamu itu cemburu." kata Rasulullah SAW. Kemudian Rasulullah SAW mengirim pinggan Aisyah ra kepada Ummu Salamah ra sebagai gantinya. Pinggan diganti pinggan.

Thursday, January 26, 2012

Pesanan Saidina Ali Karamallahu Wajhah

Pesan Saidina Ali : 

Yang suka kepada orang soleh akan tetapi tidak mahu beramal dengan amalan mereka.

Yang membenci orang-orang yang melakukan dosa akan tetapi mereka adalah salah seorang di antara mereka yang melakukan dosa.

Yang bangga diri bila beroleh ni'mat dan menyesal bila ditimpa bala. Bila ditimpa bala bersungguh-sungguh dia berdoa meminta pertolongan dari ALLAH S.W.T akan tetapi bila beroleh kejayaan dia lupa akan ALLAH S.W.T.

Dia begitu yakin dengan apa yang dirasakannya, akan tetapi tidak yakin dengan apa yang telah diyakininya.

Mereka selalu menyuruh orang lain mengambil iktibar, akan tetapi dia tidak mahu mengambil iktibar.

Mereka berlebih-lebih dalam memberi nasihat, akan tetapi mereka tidak mahu menerima nasihat orang lain.

Di hadapan orang lain berpura-pura tidak mahu berbuat maksiat, tetapi bila di belakang mereka ialah kaum maksiat.

Di depan orang ramai mereka menunjuk-nunjuk bahawa merekalah yang paling banyak mengerjakan keta'atan, tetapi di belakang merekalah orang yang paling malas.

Mereka lebih suka berpoya-poya dengan orang kaya daripada bermesra dengan orang miskin.

Mereka menghukum sesuatu untuk hanya untuk orang lain, tetapi tidak untuk dirinya.

Selalu memberi tunjuk ajar, tetapi mereka sendiri yang tidak mahu berbuat sedemikian.

Di depan orang ramai mereka mengatakan bahawa mereka takut kepada ALLAH S.W.T tetapi di belakang mereka berkelakuan sebaliknya.

Maka janganlah kamu tergolong di antara mereka!”

Thursday, December 15, 2011

Kisah Tsabit Yang Mengahwini Wanita Buta, Tuli, Bisu & Lumpuh


   
      Seorang lelaki yang soleh bernama Tsabit bin Ibrahim sedang berjalan di pinggiran kota Kufah. Tiba-tiba dia melihat sebiji epal jatuh keluar pagar sebuah kebun buah-buahan. Maka tanpa berfikir panjang dipungut dan dimakannya buah epal yang lazat itu, akan tetapi baru setengah di makan dia teringat bahawa buah itu bukan miliknya dan dia belum mendapat izin pemilik epal itu.
          Maka dia segera pergi ke dalam kebun buah-buahan itu untuk menemui pemilik kebun agar meminta dihalalkan buah yang telah dimakannya. Di kebun itu dia bertemu dengan seorang lelaki. Maka dia berkata, “Aku sudah makan setengah dari buah epal ini. Aku berharap anda menghalalkannya”. Orang itu menjawab, “Aku bukan pemilik kebun ini. Aku Khadamnya yang ditugaskan menjaga dan mengurus kebunnya”.
         Dengan nada menyesal Tsabit bertanya lagi, “Dimana rumah pemiliknya? Aku akan menemuinya dan minta agar dihalalkan epal yang telah ku makan ini.” Pengurus kebun itu memberitahu, “Apabila engkau ingin pergi ke sana maka engkau harus menempuh perjalan sehari semalam”.
            Tsabit bin Ibrahim bertekad akan pergi menemui si pemilik kebun itu. Katanya kepada orang tua itu, “Tidak mengapa. Aku akan tetap pergi menemuinya, meskipun rumahnya jauh. Aku telah memakan epal yang tidak halal bagiku kerana tanpa izin pemiliknya. Bukankah Rasulullah s.a.w. sudah memperingatkan kita melalui sabdanya: “Siapa yang tubuhnya tumbuh dari yang haram, maka ia lebih layak menjadi umpan api neraka".        Tsabit pergi juga ke rumah pemilik kebun itu, dan setiba di sana dia pun mengetuk pintu. Setelah si pemilik rumah membukakan pintu, Tsabit  memberi salam dengan sopan, seraya berkata,” Wahai tuan yang pemurah, saya sudah terlanjur makan setengah dari buah epal tuan yang jatuh di luar kebun tuan. Kerana itu mahukah tuan menghalalkan apa yang sudah ku makan itu?”
            Lelaki tua yang ada dihadapan Tsabit mengamatinya dengan cermat. Lalu dia berkata tiba-tiba, “Tidak, aku tidak boleh menghalalkannya kecuali dengan satu syarat.” Tsabit merasa khuatir dengan syarat itu kerana takut ia tidak dapat memenuhinya. Maka segera dia bertanya, “Apa syarat itu tuan?” Orang itu menjawab, “Engkau harus mengahwini puteriku!”
Tsabit bin Ibrahim tidak memahami apa maksud dan tujuan lelaki itu, maka dia berkata, “Apakah kerana hanya aku makan setengah buah epalmu yang keluar dari kebunmu, aku harus mengahwini puterimu?”
            Tetapi pemilik kebun itu tidak mempedulikan pertanyaan Tsabit. Malah menambah, katanya, “Sebelum pernikahan dimulai engkau harus tahu dulu kekurangan-kekurangan puteriku itu. Dia seorang yang buta, bisu, dan tuli. Lebih dari itu ia juga seorang yang lumpuh!”
           Tsabit amat terkejut dengan keterangan si pemilik kebun. Dia berfikir dalam hatinya, apakah perempuan seperti itu patut dia jadikan sebagai isteri gara-gara setengah buah epal yang tidak dihalalkan kepadanya? Kemudian pemilik kebun itu menyatakan lagi, “Selain syarat itu aku tidak boleh menghalalkan apa yang telah kau makan !”
                Namun Tsabit kemudian menjawab dengan mantap, “Aku akan menerima pinangannya dan perkahwinan ini. Aku telah bertekad akan mengadakan transaksi dengan Allah Rabbul ‘alamin. Untuk itu aku akan memenuhi kewajipan-kewajipan dan hak-hakku kepadanya kerana aku amat berharap Allah selalu meredhaiku dan mudah-mudahan aku dapat meningkatkan kebaikan-kebaikanku di sisi Allah Ta’ala”.
           Maka pernikahan pun dilaksanakan. Pemilik kebun itu menghadirkan dua saksi yang akan menyaksikan akad nikah mereka. Sesudah perkahwinan selesai, Tsabit dipersilakan masuk menemui isterinya. Sewaktu Tsabit hendak masuk kamar pengantin, dia berfikir akan tetap mengucapkan salam walaupun isterinya tuli dan bisu, kerana bukankah malaikat Allah yang berada dalam rumahnya tentu tidak tuli dan bisu juga. Maka dia pun mengucapkan salam, “Assalamu”alaikum…”
            Tak disangka sama sekali wanita yang ada dihadapannya dan kini rasmi menjadi isterinya itu menjawab salamnya dengan baik. Ketika Tsabit masuk hendak menghampiri wanita itu , dia mengulurkan tangan untuk menyambut tangannya. Sekali lagi Tsabit terkejut kerana wanita yang kini menjadi isterinya itu menyambut huluran tangannya.     Tsabit sempat tersentak menyaksikan kenyataan ini. “Kata ayahnya dia wanita tuli dan bisu tetapi ternyata dia menyambut salamnya dengan baik. Jika demikian bererti wanita yang ada dihadapanku ini dapat mendengar dan tidak bisu. Ayahnya juga mengatakan bahawa dia buta dan lumpuh tetapi ternyata dia menyambut kedatanganku dengan ramah dan mengulurkan tangan dengan mesra pula”, Kata Tsabit dalam hatinya. Tsabit berfikir, mengapa ayahnya menyampaikan berita-berita yang bertentangan dengan yang sebenarnya ?
              Setelah Tsabit duduk di samping isterinya, dia bertanya, “Ayahmu mengatakan kepadaku bahawa engkau buta. Mengapa?” Wanita itu kemudian berkata, “Ayahku benar, kerana aku tidak pernah melihat apa-apa yang diharamkan Allah”. Tsabit bertanya lagi, “Ayahmu juga mengatakan bahawa engkau tuli, mengapa?” Wanita itu menjawab, “Ayahku benar, kerana aku tidak pernah mahu mendengar berita dan cerita orang yang tidak membuat redha Allah.
             Ayahku juga mengatakan kepadamu bahawa aku bisu dan lumpuh, bukan?” Tanya wanita itu kepada Tsabit yang kini sah menjadi suaminya. Tsabit mengangguk perlahan mengiyakan pertanyaan isterinya. Selanjutnya wanita itu berkata, “aku dikatakan bisu kerana dalam banyak hal aku hanya menggunakan lidahku untuk menyebut asma Allah Ta’ala saja. Aku juga dikatakan lumpuh kerana kakiku tidak pernah pergi ke tempat-tempat yang boleh menimbulkan kegusaran Allah Ta’ala”.
          Tsabit amat bahagia mendapatkan isteri yang ternyata amat solehah dan wanita yang memelihara dirinya. Dengan bangga ia berkata tentang isterinya, “Ketika kulihat wajahnya… Subhanallah, dia bagaikan bulan purnama di malam yang gelap”.
            Tsabit dan isterinya yang salehah dan cantik itu hidup rukun dan berbahagia. Tidak lama kemudian mereka dikurniakan seorang putera yang ilmunya memancarkan hikmah ke seluruh penjuru dunia, Beliau adalah Al Imam Abu Hanifah An Nu’man bin Tsabit.

Sunday, December 11, 2011

Kisah Duta (Wakil) Wanita

         Asma' Binti Yazid bin As-Sakan r.a datang kepada Nabi SAW lalu dia berkata: "Sesungguhnya aku utusan sekelompok wanita muslimah yang dibelakangku, mereka itu mengatakan apa yang aku katakan dan berpendapat seperti pendapatku. Sesungguhnya Allah mengutusmu kepada lelaki dan wanita, maka kami beriman kepadamu dan mengikutimu. Para wanita itu terhad geraknya dan diam di rumah sahaja. Sedangkan lelaki diberi kelebihan dengan solat jumaat, melakukan takziyah dan jihad. Dan jika mereka keluar jihad, kami menjaga harta mereka dan kami mendidik anak-anak mereka. Apakah kami juga mendapat pahala seperti mereka ya Rasulullah?" Nabi SAW melihat kepada sahabatnya, lalu berkata: Apakah kalian pernah mendengar perkataan wanita yang lebih baik tentang agamanya daripada wanita ini?" Mereka menjawab, "Tidak ya Rasulullah." Maka Nabi SAW berkata:
      "Pergilah kamu wahai Asma', dan beritahukan kepada wanita-wanita yang dibelakangmu bahawa kebaikan salah seorang diantara kamu terhadap suaminya dan usahanya untuk mendapatkan kerelaan dan ketaatannya kepada suaminya adalah sama dengan semua yang kamu sebutkan untuk lelaki." (HR Muslim)
       Maka Asma' pun pulang dan dia membaca tahlil (La ilaha illallah) dan takbir (Allahu Akbar) kerana begitu gembiranya atas penjelasan Rasulullah SAW.

(sumber dari buku 40 masalah wanita)

Thursday, December 1, 2011

WANITA PERTAMA MASUK KE SYURGA SEBELUM PUTERI RASULULLAH S.A.W FATIMAH AZ-ZAHRA

      Fatimah adalah puteri Rasulullah SAW yang mempunyai budi pekerti yang baik dan beliau amat taat kepada ajaran agama dan sifat-sifatnya sama seperti ayahnya yakni Nabi Muhammad S.A.W. 
Pada suatu hari ketika Rasullah sedang bercerita tentang kenikmatan syurga kepada Fatimah, maka baginda pun bersabda, “Aduhai anakandaku, ada seorang perempuan kebanyakan (orang biasa) yang akan masuk syurga lebih dahulu daripadamu”.
Mendengar sahaja kata-kata ayahandanya itu, maka berubahlah air mukanya lantas menangis dan berkata, “Siapakah perempuan itu wahai ayahanda? Macam mana halnya dan bagaimana pula amalannya sehingga dia dapat lebih dahulu masuk ke dalam syurga daripada anakanda? Ayahanda, khabarkanlah di mana dia sekarang” 
Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, “Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud, kira-kira 3 batu dari Madinah”. Tanpa membuang masa,  Fatimah pun keluar pergi mencari perempuan yang dikatakan masuk syurga terlebih dahulu daripadanya. Setelah dia sampai ke rumah perempuan itu, lalu dia mengetuk pintu sambil memberi salam.
Perempuan yang Rasulullah maksudkan itu membuka pintu dan bertanyakan hajat Fatimah datang ke sana tanpa menjemputnya masuk ke dalam rumah. Fatimah berkata, “Saya datang ke mari kerana hendak berjumpa dan berkenalan dengan kamu”. Perempuan itu menjawab, “Terima kasih puan, tetapi saya tidak dapat membenarkan puan masuk kerana suami saya tidak ada di rumah. Nanti saya minta izin apabila dia balik nanti. Silalah datang pada esok hari”.
Dengan perasaan sedih dan dukacita Fatimah pulang kerana tak dapat masuk dan bercakap panjang dengan perempuan itu. Esoknya dia kembali lagi ke rumah perempuan itu dengan membawa anaknya yang bernama Hasan. Apabila tiba di pintu rumah perempuan tersebut dan hendak dipersilakan masuk, tiba-tiba perempuan itu melihat ada budak bersama-sama Fatimah, lalu dia berkata, “Ini siapa?”. Anakanda Rasulullah menjawab, “Ini anak saya, Hasan”. Perempuan itu lantas berkata, “Saya dukacita kerana saya belum meminta izin untuk anak ini masuk dari suami saya”.
Fatimah jadi serba salah lalu dia pun balik kembali ke rumahnya. Esoknya Fatimah datang lagi ke rumah perempuan itu tapi kali ini dia membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Perempuan ahli syurga itu terkejut melihat ada seorang budak lagi yang belum diminta izin dari suaminya untuk masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah tersipu malu lalu dia balik dengan perasaan hampa.
Dalam perjalanan pulang, hatinya berkata-kata, “Perempuan ini sangat takut kepada suaminya, sehingga perkara yang begini pun dia tak berani melakukannya. Pada hal jika dia membenarkan aku masuk, takkan suaminya marah? Tak usahlah pandang aku ini siapa dan dua budak ni cucu siapa, pandanglah kepada tetamu dan orang jauh sudahlah” bisik hatinya sambil menangis teresak-esak.
Sebaik sahaja suami kepada perempuan itu pulang, perempuan itu memberitahu perihal budak yang seorang lagi yang dibawa oleh Fatimah. Suaminya yang terkejut dan hairan pun berkata, “Kenapa kamu tahan sampai begitu sekali? Bukankah Fatimah itu puteri Rasulullah S.A.W dan dua orang anaknya itu cucu baginda. Lebih daripada itu pun kamu patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaan Rasulullah S.A.W. Jangan awak buat seperti itu lagi, jika dia membawa sesiapa pun, terimalah mereka dengan baik dan hormatlah mereka semua”.
Isterinya menyahut, “Baiklah, tetapi maafkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaanmu , suamiku. Oleh itu saya tak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hatimu”. “Terima Kasih” sahut suaminya.
Pada hari seterusnya, Fatimah datang lagi dengan membawa dua orang puteranya. Setelah diterima masuk dan dijamu dengan buah kurma dan air, mereka pun memulakan perbualan. Dalam pada itu, perempuan itu berjalan ke arah muka pintu rumahnya sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menantikan kedatangan seseorang dengan tak berepa memperdulikan Fatimah. Sambil itu Fatimah melihat di tangan perempuan itu terdapat sebatang tongkat dan sebuah bekas berisi air manakala tangan yang sebelah lagi menangkat hujung kain sehingga menampakkan betis dan pehanya dan mukanya penuh dengan senyuman yang manis.
Melihat keadaan sebegitu rupa dengan perasaan resah kerana tidak diperdulikan lalu Fatimah bertanya, “Mengapa jadi begini?” Perempuan itu menyahut, “Puan, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan kepulangan suami saya”. “Buat apa dengan bekas air itu?” tanya Fatimah. Jawab perempuan itu, “Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik, saya akan segera menghulurkan air ini kepadanya supaya tak terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah”.
Kemudian Fatimah bertanya lagi, “Buat apa pula tongkat itu?” Perempuan itu menjawab, “Jika suami saya marah, mudahlah dia memukul saya dengan tongkat ini”.Fatimah bertanya lagi, “Kenapa pula kamu selak kain mu  sehingga menampakkan aurat, bukankah itu haram?” Maka perempuan itu berkata, “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada maksudnya”.
Selesai sahaja perempuan itu menjawab segala pertanyaannya, Fatimah termenung dan hairan lalu dia berkata, “Jika begini kelakuan dan perangainya terhadap suaminya, tidak dapatlah aku mengikutnya. Patutlah dia masuk ke syurga dahulu daripada aku serta wanita-wanita lain. Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami itu bergantung pada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya”.
       Sambil teresak-esak menangis dan menitis air matanya,Fatimah meminta izin untuk pulang dan dia segera mengadap ayahandanya Rasulullah S.A.W lalu berkata, “Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi kerana tak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan perempuan yang ayahanda maksudkan itu”.
Sebaik sahaja Rasulullah S.A.W mendengar rintihan puterinya lalu baginda bersabda sambil tersenyum, “Anakanda, janganlah susah hati, perempuan yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali ras kendali tunggangan anakanda tatkala masuk ke syurga. Jadi dialah yang masuk terlebih dahulu”. Setelah mendengar penjelasan itu, barulah Fatimah tersenyum ketawa.