Sunday, January 6, 2013

Wanita Penzina Yang Bertaubat

          Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita dari kaum Hujainah yang hamil kerana perbuatan zina. Lalu dia berkata: "Wahai Rasulullah, telah berlalu suatu hukuman bagiku maka laksanakanlah hukuman itu atas diriku." Lalu Rasulullah SAW memanggil seorang wali wanita itu serta berkata: "Perlakukanlah dengan cara yang baik terhadap wanita ini, jika dia telah melahirkan, bawalah dia kepadaku." Maka wali itu melaksanakannya. Maka setelah tiba saatnya, Rasulullah SAW mengikat tangan wanita itu dengan pakaiannya kemudian memerintahkan kepada para sahabat supaya merejamnya. Akhirnya wanita itu menghembuskan nafas yang terakhir.
      Setelah itu, Rasulullah SAW menyembahyangkan mayat wanita itu. Kemudian Umar RA berkata kepada Rasulullah SAW: "Mengapa engkau menyembahyangkan jenazah wanita itu wahai Rasulullah padahal dia telah berzina?" Maka Rasulullah SAW menjawab: "Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan betul-betul taubat, aidaikata taubatnya itu dibahagi-bahagikan diantara tujuh puluh orang penduduk Madinah, tentu taubatnya itu sanggup untuk menutupi kesalahan mereka semua. Apakah engkau pernah mendapatkan suatu taubat yang lebih utama jika dibandingkan dengan wanita itu yang menyerahkan nyawanya kepada Allah?"

Begitulah balasan kepada orang yang betul-betul bertaubat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
"Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka kejahatan mereka itu akan diganti dengan kebaikan." (Surah Al-Furqan:70)