Sunday, October 30, 2011

Keinsafan Seorang Pelacur Terhormat

     Diceritakan pada suatu masa dahulu terdapat seorang wanita yang sangat cantik rupa parasnya. Dia berketurunan Bani Israel yang kerjanya menjadi pelacur. Kemewahan dan kekayaan yang dimilikinya adalah hasil daripada pekerjaan terkutuk itu. Pintu rumahnya akan sentiasa terbuka bagi memberi ruang kepada kaum lelaki melihat keseksian dirinya, apa sahaja akan dilakukan bagi menarik perhatian orang yang melalui rumahnya. Dengan memiliki rupa paras yang cantik sudah cukup untuk menambat hati kaum lelaki. Apatah lagi jika dia berpakaian seksi dan menjolok mata.
     Justeru itu, sesiapa yang bertuhankan nafsu, maka wanita inilah dijadikan tempat untuk melepaskan hajatnya. Segala yang dilakukan oleh wanita ini adalah dengan kerelaan dan kehendak dirinya sendiri. Dia memiliki beberapa orang pembantu bagi menguruskan pelanggannya yang datang silih berganti. Dia sedikit pun tidak merasa berdosa dengan apa yang dilakukannya pada ketika itu. Hatinya cukup senang dan puas bila mendapat pendapatan lumayan.
     Pada suatu hari seorang lelaki beriman melalui rumah wanita tersebut. Walaupun dia seorang lelaki beriman, akan tetapi dia juga manusia biasa yang memiliki hawa nafsu dan keinginan syahwatnya seperti manusia lain juga. Lelaki itu sungguh terpesona dengan kecantikan dan tingkah laku  mengghairahkan yang ditunjukkan wanita tersebut. Hatinya mula memberontak dan terpedaya dengan pujuk rayu syaitan serta hawa nafsunya. Lantas Keimanan yang dipeliharanya selama ini mula tergugat dan hancur berkecai. Namun demikian, pemikirannya masih waras lalu dia berdoa kepada Allah agar dia dapat mengawal perasaannya yang bergelora hebat ketika itu. "Ya Allah, Ya Tuhanku. Tenangkanlah perasaanku ini. Jauhilah aku daripada maksiat dan dosa. Tunjukkanlah aku ke jalan yang benar.
        Nafsu dan imannya berperang hebat di dalam dirinya. Imannya menasihati supaya menjauhkan diri daripada wanita tersebut, tetapi nafsu dan syaitan memujuk rayu supaya mendekatinya. Sebelum ini dia tidak pernah diuji dengan ujian sehebat ini. Akhirnya nafsu berahi memuncak. Dia tidak dapat lagi mengawal perasaan dan kemahuan nafsunya. Fikirannya melayang-layang memikirkan keseronokan dan kenikmatan bersama wanita itu. Lalu dia mendekatinya untuk berbincang mengenai bayarannya. Sedangkan pada waktu itu dia tidak memiliki wang dirham untuk diberikan kepada pelacur itu. Setelah perbincangan selesai, dia pun berusaha mendapatkan beberapa keping wang dirham. Jadi dia terpaksa menjual beberapa helai kain yang dibawanya untuk mendapatkan wang dirham sebagaimana yang diminta.
       Apabila telah mencukupi 10 dirham, lelaki beriman itu pergi ke rumah pelacur tersebut dan mereka berbincang untuk menentukan bilakah masa yang sesuai untuk bersama wanita tersebut. Apabila tiba masa dan waktu yang dijanjikan, dia sekali lagi datang dengan hati yang sangat gembira. Dia mendapati wanita tersebut sudah bersedia menunggu kedatangannya dengan senyuman manis terukir diwajahnya. Wangi-wangian yang dipakai semerbak harumnya sehingga menusuk masuk ke dalam hidung menyebabkan dia tidak sabar lagi untuk duduk bersama dengan wanita tersebut. Apabila semuanya telah sedia, lelaki beriman itu duduklah berdekatan dengannya. Lalu dia menghulurkan tangannya untuk bersalam-salaman sebelum bersama wanita itu. 
     Pada waktu itu, dia teringatkan pembalasan dari Tuhannya dan bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui perbuatan hamba-hambaNya sama ada di tempat sunyi atau terang sama ada perkara yang dilakukan itu baik atau maksiat. Di kala itu dia tidak dapat menahan perasaan takutnya kepada Allah. Gementarlah seluruh anggota badannya. Fikirannya menjadi berkecamuk dan tidak menentu. Wajahnya serta merta menjadi pucat lesi kerana menyesal dengan perbuatan dosa yang igin dilakukannya. Dia merasa azab seksa menimpa dirinya. Keinsafan dan kesedaran yang teramat sangat menyebabkan hatinya begitu resah dan kecewa kerana terpedaya dengan godaan syaitan dan nafsu. Walau apapun yang difikirkannya, namun keadaan tidak akan dapat mengubah segala-galanya yang telah berlaku.
   "Apakah yang menyebabkan tiba-tiba sahaja muka tuan hamba berubah seperti orang dalam ketakutan? Adakah hamba tidak melayan tuan hamba dengan baik? Atau apakah yang menggangu fikiran tuan hamba di waktu ini?" Tanya pelacur tersebut kehairanan apabila lelaki beriman itu menjauhkan diri daripadanya secara tiba-tiba.   Lelaki beriman itu berkata: "Sesungguhnya hamba takut kepada azab dan balasan Allah, sebab itulah seluruh anggota hamba gementar dan muka hamba pucat. Oleh itu izinkan hamba keluar dari tempat ini. Hamba tidak mahu menurut hawa nafsu dan syaitan. Hamba menyesal di atas kelalaian ini dan ingin bertaubat seta memohon ampun kepada Allah."
       "Apakah tuan hamba belum pernah melakukan perkara seperti ini sebelum ini?" tanya wanita itu. "Sesungguhnya ini pertama kali hamba terpedaya dengan pujukan hawa nafsu dan syaitan. Sebelum ini hamba tidak pernah terfikir untuk terjebak dengan perbuatan yang berdosa dan haram ini. Hamba adalah seorang manusia yang sentiasa mendekatkan diri kepadaNya. Jadi hamba telah dilalaikan oleh pujukan hawa nafsu dan syaitan." Jawab lelaki beriman dengan perasaan sebak dan menyesal.
       "Sungguh mulia hati orang beriman ini. Imannya sangat kuat dan tebal. Belum sempat dia melakukan apa-apa, dia sudah merasa bersalah dan berdosa.." Bisik hati kecil pelacur itu. "Sesungguhnya orang ini baru pertama kali ingin melakukan dosa, tetapi sudah merasa takut kepada Allah, sedangkan aku ini telah berbuat dosa bertahun-tahun lamanya, tidak pernah merasa berdosa dan takut kepada Allah. Padahal Tuhannya adalah Tuhan aku juga. Sepatutnya akulah yang lebih takutkan Allah di atas segala yang telah aku lakukan selama ini." Bisik hati kecilnya.
          Semenjak dari peristiwa itu, timbul keinsafan dan penyesalan. Dia berjanji pada dirinya sendiri bahawa dia akan meninggalkan perbuatan terkutuk itu buat selama-lamanya. Mulai daripada hari itu, dia menutup pintu rumahnya. Dengan tekad dan azam, dia berjanji akan menjauhkan dirinya daripada melakukan maksiat. Dia merasa terhutang budi kepada lelaki beriman tersebut kerana mengajarnya erti iman dan takwa kepada Allah. Mulai daripada hari itu, perangai dan perilakunya serta merta berubah. Dia telah mulakan satu cara hidup baru yang lebih baik. Setelah sekian lama mengasingkan diri dan hanya beribadat kepada Allah, pada suatu hari timbul perasaan ingin berjumpa lelaki beriman yang telah menyedarkannya. Dia berkata dalam hatinya: "Alangkah baik jika aku dapat berjumpa dengan lelaki itu, manalah tahu dia ingin berkahwin dengan aku. Jika dia ingin menjadikan aku isterinya, dapatlah aku mempelajari dan mendalami agama dengan lebih mendalam lagi."
        Apabila dia sampai di rumah lelaki beriman itu, keluarlah lelaki itu untuk mendapatkan tetamu yang datang. Apabila dia melihat lelaki beriman dihadapannya, dia pun membuka tudung yang menutupi wajahnya supaya dapat dikenali oleh lelaki itu. Tetapi alangkah malang nasib wanita itu apabila lelaki itu terpandang wajahnya, lelaki itu teringat perbuatan jahatnya dahulu. Belum sempat wanita itu menerangkan tujuan kedatangannya, lelaki itu menjerit sekuat hati sehingga pengsan dan mati. Kejadian itu membuatkan wanita itu sedih. "Aku ke sini semata-mata untuk berjumpa dan menerangkan keadaan diriku yang telah berubah, tapi belum sempat aku menceritakannya dia mati kerana melihatku. Mungkin kerana dia terlalu takut kepada Allah. Mungkin juga dia menyangka aku masih lagi seorang pelacur dan mungkin dia teringatkan dosanya yang telah lalu. Jadi alangkah berdosanya aku kerana telah menyebabkan kematiaannya."
        Wanita itu merasa amat bersalah. Justeru dia bertanya dan mencari sama ada lelaki beriman yang telah meninggal dunia itu mempunyai saudara, adik beradik atau keluarga terdekat. Dia ingin menjadi isteri kepada saudara lelaki beriman itu. Dia mendapat tahu lelaki beriman itu mempunyai saudara yang soleh dan taat. Akan tetapi dia sangat miskin. Wanita itu mengatakan. "Sesungguhnya aku mempunyai harta yang mencukupi untuk keperluan hidup berumah tangga. Harta dan kekayaan bukanlah menjadi pilihanku."
        Setelah diadakan perbincangan, akhirnya dia berkahwin dengan saudara lelaki beriman itu. Setelah beberapa tahun Allah mengurniakan mereka tujuh orang anak. Dikatakan bahawa anak-anak mereka itu semuanya menjadi nabi-nabi kepada kaum Bani Israel.

(sumber dari kisah kematian yang menyayat hati)

Saturday, October 22, 2011

KEADAAN SESEORANG KETIKA SAMPAI AJALNYA


HADITH:

Dari Al-Bara' bin 'Azib r.a katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi s.a.w, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah s.a.w pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. Setelah itu Baginda s.a.w mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur", (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa kain kapan bersama mereka dari kain-kain kapan syurga, dan Hanut (Pachai iaitu serbuk campuran dari benda-benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa dikapankan) dari yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakulmaut a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Wahai jiwa yang baik! Keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: Orang yang hendak mati dihadiri - saat naza'nya - oleh Malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang salih, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu keluar - mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya di dalam kain kapan dan Hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di atas muka bumi." Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang baik ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu' (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh. Setelah itu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu): "Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam 'illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Hai jiwa yang jahat! Keluarlah (dan pada satu riwayat disebutkan: Maka apabila orang itu orang jahat, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakul maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang jahat ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu," (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca (ayat 40 Surah al-A'raf ertinya): "…..Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum…..". (Kemudian Baginda s.a.w bersabda): "Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: "Simpalah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ…….."

 
Al-Bara' bin 'Azib r.a

Thursday, October 6, 2011

TIDAK MERENDAHKAN PEMBERIAN SUAMI SERTA TIDAK MENCARI-CARI ALASAN UNTUK MEMINTA CERAI

Rasulullah SAW bersabda:

    "Jika seorang isteri berkata kepada suaminya, belum pernah aku mendapatkan atau merasakan kebaikan darimu, maka beerti telah gugur amalnya." (HR Ibn. Ady danAs-Syakir)                   

                         
'Tiap isteri yang meminta cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dapat dibenarkan, maka haram atasnya bau syurga." (HR Abu Daud)                  


"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Jika isteri berkata kepada suaminya: Talaklah aku/ceraikan aku! maka nanti di hari kiamat ia tidak berdaging, lidahnya keluar melalui tengkuknya dan akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam walaupun ia puasa disiang hari dan solat malam." (Hadis dari Abu Bakar As-Siddiq)               


(dipetik dari buku 111 wasiat Rasulullah saw utk wanita solehah)