Tuesday, December 14, 2010

40 Tahun Mundar-Mandir

         Nabi Allah Musa a.s bersama sekelian umatnya telah diselamatkan oleh Allah S.W.T daripada penindasan dan pengejaran Firaun. Sekarang mereka telah berkumpul di sebuah tempat bernama Padang Tih. Dari situ Nabi Musa a.s memerintahkan umatnya agar memasuki bumi Palestin yang ketika itu sedang diduduki oleh suatu kaum yang ingkar kepada Allah S.W. T. Bumi tersebut telah dijanjikan oleh Allah kepada umat Nabi Musa. Akan tetapi mereka pengecut, penakut, malas dan tidak mahu berjuang.
"Wahai kaumku, masuklah kamu sekalian ke dalam tanah suci yang telah ditentukan oleh Allah untukmu" kata Nabi Musa. "Kami tidak mahu memasuki negeri itu kerana di dalamnya ada kaum yang kejam dan bengis. Jika mereka keluar, barulah kami memasukinya." kata mereka membangkang. Nabi Musa sangat sedih mendengar bangkangan dari kaumnya itu. Dari sekian ramai umat itu hanya dua orang saja yang berjiwa berani, sanggup berjuang membela kebenaran. "Mengapa kita mesti takut? Marilah kita masuk berjuang! Jika kita bertawakal kepada Allah, nescaya kita akan mendapat kemenangan." kata dua orang yang berani itu. Akakn tetapi mereka telah terbiasa dengan jiwa perhambaan selama beratus tahun  ketika berada di Mesir, tetap berjiwa pengecut dan penakut. Bahkan mereka tergamak memperli Nabi Musa dan Allah sambil berkata, "Wahai Musa! sekali-kali kami tidak mahu memasukinya selama mereka masih ada di dalamnya. Pergilah engkau bersama Tuhan engkau berperang melawan mereka. Kami akan duduk sahaja di sini sambil memerhatikan engkau berperang." Nabi Musa sangat marah mendengar perkataan kaumnya yang telah sangat melampau itu. Akan tetapi beliau masih dapat mengawal dirinya dari bertindak kasar. Beliau hanya mengadukan sahaja masalah kaumnya kepada Allah S.W.T. Sebagai balasan kepada kaum yang ingkar itu, Allah telah mengharamkan mereka dari memasuki tanah suci yang dijanjikan itu selama 40 tahun. Selama 40 tahun itu pula, mereka dihukum tidak dapat keluar dari kawasan padang Tih. Jadilah mereka sebagai umat yang bingung tanpa tujuan, tidak tahu bandar, tidak dapat melihat dunia luar, melainkan hanya mundar mandir dan berpusing-pusing di kawasan itu saja selama 40 tahun. Ada yang menceritakan bahawa apabila sesetengah mereka cuba berjalan ke arah barat untuk keluar dari kawasan itu pada waktu pagi, tiba-tiba muncul disebelah timur lagi waktu petangnya. Ada pula yang keluar dengan menuju ke arah timur, tiba-tiba sampai di tempatnya semula. Begitulah setiap kali mereka berjalan untuk keluar dari kawasan itu, tiba-tiba berada di tempatnya semula. Akhirnya habis generasi mereka mati di padang Tih itu kecuali beberapa orang saja.

No comments:

Post a Comment