Saturday, December 15, 2012

Siapakah Isteri Yang Paling Rasulullah SAW Sayangi?


     Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda SAW datang menemui Baginda SAW, Aishah ra yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda SAW tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda SAW menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.
     Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda mengikut giliran dan sebelum Baginda meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.
Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda berkumpul kerana Baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan. Rasulullah SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah SAW kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.

Monday, December 10, 2012

Romantiknya Rasulullah SAW


Disikatkan oleh isteri
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya biasa menyikat rambut Rasulullah s.a.w, ketika itu saya sedang haid.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Minum bergantian pada tempat yang sama
Daripada Aisyah r.a., dia berkata: “Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda s.a.w minum, kemudian saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup isinya, kemudian Baginda s.a.w mengambilnya dari saya, lalu Baginda s.a.w meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda s.a.w pun menghirupnya. ” (Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Manshur)
Mandi bersama isteri
Dari Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku biasa mandi bersama Nabi s.a.w. menggunakan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana tersebut).” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)
Memberi wangi-wangian pada aurat
Aisyah berkata, “sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda s.a.w akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda s.a.w meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Meminta isteri meminyaki badan
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah s.a.w. pada hari Raya ‘Aidil Adha’ setelah beliau melakukan jamrah aqabah.” (Hadis Riwayat Ibnu ‘Asakir)




Thursday, June 21, 2012

Pentingnya Redha Suami

         Pada Suatu hari,  puteri kesayangan Rasulullah saw iaitu Saidatina Fatimah Az-Zahra' telah menyebabkan suaminya Saidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Saidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya itu tidak juga berubah lalu dengan berlari-lari dia mengelilingi Saidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Saidina Fatimah itu, tersenyumlah Saidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.
         "Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu,". Rasulullah saw memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai  ke pengetahuan baginda saw. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah swt sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami.
      Apa yang dilakukan oleh Saidatina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain karenah yang menyusahkan Saidina Ali. Begitupun Rasulullah saw tetap berkata begitu kepadanya meskipun Saidatina Fatimah merupakan puteri kesayangan baginda. Bagaimana dengan kita wahai isteri-isteri? renungkan...

Tuesday, June 12, 2012

Keistimewaan Ummul Mukminin Khadijah RA

     Khadijah ra merupakan wanita pertama yang dikahwini oleh Rasulullah saw. Malah Rasulullah saw tidak mempunyai isteri lain sepanjang hidup bersama Khadijah ra. Khadijah ra juga melahirkan putera dan puteri Rasulullah saw seramai 7 orang. 
     
      Rasulullah saw sangat menyayangi Khadijah ra hinggakan baginda pernah bersabda: “Dia adalah seorang wanita yang terbaik, kerana dia telah percaya dan beriman kepadaku di saat orang lain masih dalam kebimbangan, dia telah membenarkan aku di saat orang lain mendustakanku, dia telah mengorbankan semua harta bendanya ketika orang lain mencegah kemurahannya terhadapku, dan dia telah melahirkan bagiku beberapa putera-puteri yang tidak ku dapatkan dari isteri-isteri yang lain”.

    Ketika Jibril as datang kepada Nabi saw, dia berkata :”Wahai, Rasulullah, inilah Khadijah telah datang membawa sebuah wadah berisi kuah dan makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan salam kepadanya dari Tuhannya dan aku, dan beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di syurga dari mutiara yang tiada keributan di dalamnya dan tidak ada kepayahan.” 
     
         Tatkala peristiwa penurunan wahyu pertama, Rasulullah saw ditenteramkan oleh Khadijah ra dan beliau mempercayai apa yang diceritakan oleh Rasulullah saw. Khadijah juga wanita pertama beriman kepada ajaran yang dibawa oleh suaminya saw.

          Kematian Khadijah sangat memberi kesan kepada baginda hingga tahun kematian itu digelar tahun kesedihan tambahan pula bapa saudara Nabi saw iaitu Abu Talib juga pergi buat selama-lamanya.

Saturday, June 9, 2012

Larangan Memakai Rambut Palsu

Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah saw, katanya:
      "Ya Rasulullah, saya mempunyai seorang anak perempuan remaja yang telah diserang penyakit demam campak yang menyebabkan rosak atau gugur rambutnya, adakah boleh saya memakaikannya dengan rambut palsu?" Rasulullah saw menjawab: " Allah mengutuk perempuan yang  menjadi tukang rambut palsu dan perempuan yang memakai rambut palsu." (HR. Bukhari dan Muslim)

Daripada Hamid bin Abd Rahman bin Auf beliau telah mendengar Muawiyah berucap di musim haji di atas suatu mimbar sambil beliau mencapai seikat rambut daripada tangan seorang pengawal, katanya:
         "Hai penduduk kota Madinah, di manakah ulama'-ulama' kamu? Saya telah mendengar Rasulullah saw melarang perbuatan seumpama ini sabdanya: "Sesungguhnya kemusnahan Bani Israel (bangsa yahudi) itu ketika kaum wanitanya memakai (rambut palsu)."  (HR. Bukhari dan Muslim)                     

                                (imej hiasan shj)

Monday, May 14, 2012

GURAUAN ANTARA AISYAH RA & SAUDAH RA

            Aisyah adalah isteri Rasulullah yang paling muda. Oleh sebab masih remaja, maka sifat keanak-anakan beliau kadang-kadang jelas kelihatan.
Pada suatu ketika, Aisyah bercerita, Nabi Muhammad s.a.w dan madu Aisyah, Saudah binti Zam’ah ada bersama-samanya. Maka Aisyah pun memasak sejenis makanan bergelar khazir.
           Aisyah membawa makanan itu kepada mereka dan menyuakannya pada Saudah. Katanya pada Saudah, “Makan, wahai Saudah.” Saudah menjawab, “Aku tidak sukakan makanan ini.”
Aisyah pantas berkata, “Demi tuhan, kau harus makan makanan ini wahai Saudah. Jika tidak akan kulumur mukamu dengannya. Saudah membalas, “Aku tidak akan memakannya.”
Aisyah dengan spontan mengambil sedikit makanan itu daripada dalam bekas dan dilumurkannya pada muka Saudah, sedangkan pada waktu yang sama Rasulullah sebenarnya sedang duduk antara Aisyah dan Saudah.
          Melihat kenakalan Aisyah, Rasulullah s.a.w merendahkan dirinya supaya Saudah boleh membalas. Saudah terus mengambil bahagian daripada makanan tersebut dan melumurkannya pada muka Aisyah pula.
Rasulullah s.a.w hanya tertawa melihat kejadian itu.

Thursday, March 8, 2012

Nasihat Seorang Wanita Jelita Menyedarkan Hasan Al-Basri

          Hasan Al-Basri ketika zaman mudanya kelihatan bagus dan tampan, lebih-lebih apabila memakai pakaian mahal. Beliau sering berjalan-jalan sekeliling kampung di kota Basrah kerana sangat senang berdasarkan keindahan dan ramai penduduk tinggal di kota itu.
Pada suatu hari, ketika Hasan berjalan, secara tiba-tiba beliau melihat seorang wanita cantik.
Melihat wanita cantik itu. Hasan berjalan mengikutinya. Wanita itu menoleh, sambil berkata kepadanya: “Apakah engkau tidak malu?” Jawab Hasan: ”Malu pada siapa?” Wanita itu berkata. “Malu kepada Zat Yang Maha Mengetahui, mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam hati.”
                                            (hiasan)
         
        Tertanam rasa cinta di dalam hati Hasan terhadap wanita itu sehingga tidak sabar dan tidak boleh menguasai nafsunya, akhirnya ia terus mengikuti di belakang wanita itu. Wanita itu berkata lagi kepadanya: “Mengapa engkau mengikuti aku?” Jawab Hasan: “Sungguh, aku terpesona dengan pandangan matamu itu.” Wanita itu berkata: “Tunggulah di sini, nanti akan aku kirim apa yang engkau kehendaki.” Hasan beranggapan wanita itu menaruh cinta kepadanya, sebagaimana dia jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu di tempat itu.
        Tidak beberapa lama kemudian, datanglah seorang pelayan wanita cantik itu kepadanya membawa bekas bertutup sehelai sapu tangan. Ketika Hasan membuka tutup bekas itu, ternyata dua mata wanita itu ada di dalamnya. Melihat hal sedemikian, maka pelayan terbabit berkata. “Sungguh tuan puteri berkata: “Aku tidak ingin mata yang memuatkan fitnah dan mempesonakan orang.” Sebaik Hasan mendengar kenyataan ucapan daripada pelayan wanita itu, dia gementar dan berdiri bulu romanya, lalu memegang janggutnya dan berkata kepada dirinya: ”Celaka engkau, sebab sudah berjanggut mengapa tidak malu terhadap wanita cantik itu.”
          Dia pun menyesal dan bertaubat pada saat itu sebelum pulang ke rumahnya dan menangis semalaman. Keesokan paginya, Hasan ke rumah wanita itu untuk meminta maaf segala kesalahannya. Sebaik tiba di rumah wanita berkenaan, rumahnya tertutup dan mendengar suara tangisan wanita dari dalam rumah itu. Akhirnya, beliau pun bertanya apa yang berlaku. Dikatakan bahawa pemilik rumah itu meninggal. Hasan kembali ke rumahnya dan menangis selama tiga hari.
       Pada malam ketiga, dia bermimpi melihat wanita cantik itu sedang berada di dalam syurga. Hasan berkata kepada wanita itu dalam mimpiya. “Hai wanita yang cantik, maafkan olehmu semua kesalahanku.” Jawab wanita itu. “Sungguh, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh kebaikan daripada Allah sebab engkau.” Hasan berkata, “Berikanlah kepadaku akan nasihatmu.”  “Kalau engkau sendirian, berzikirlah atau ingatlah kepada Allah. Dan pada setiap pagi mahupun petang, beristighfar memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya.” kata wanita berkenaan.
         Mendengar nasihat daripada wanita itu, Hasan menerima dan melaksanakan hingga dia menjadi orang yang masyhur di kalangan masyarakat dengan zuhud dan taatnya kepada Allah.    Akhirnya, dia pun memperoleh darjat tinggi dan mulia serta menjadi seorang wali dan kekasih Allah. 

Sunday, February 19, 2012

PINGGAN DIGANTI PINGGAN

Beberapa orang sahabat termasuk Anas Bin Malik  sedang berkumpul bersama-sama Rasulullah SAW di bilik Ummul Mu'minin Aisyah ra. Sebentar kemudian datang satu pinggan penuh makanan yang dikirim oleh Ummu Salamah ra iaitu madu Aisyah ra. Isinya roti dan daging. Rasulullah SAW menyuruh para sahabat makan makanan itu, mereka pun makanlah. Sementara Aisyah ra sendiri sedang sibuk memasak makanan tetapi telah didahului oleh Ummu Salamah ra. Tidak lama kemudian makanan yang dibuat oleh Aisyah ra pun masak. Aisyah menghidangkan makanan yang dibuatnya sendiri dan mengangkat pinggan yang dihantar oleh Ummu Salamah ra. Tiba-tiba Aisyah ra memecahkan pinggan milik Ummu Salamah ra hingga berkecai. "Sila makan. Ibu kamu itu cemburu." kata Rasulullah SAW. Kemudian Rasulullah SAW mengirim pinggan Aisyah ra kepada Ummu Salamah ra sebagai gantinya. Pinggan diganti pinggan.

Thursday, January 26, 2012

Pesanan Saidina Ali Karamallahu Wajhah

Pesan Saidina Ali : 

Yang suka kepada orang soleh akan tetapi tidak mahu beramal dengan amalan mereka.

Yang membenci orang-orang yang melakukan dosa akan tetapi mereka adalah salah seorang di antara mereka yang melakukan dosa.

Yang bangga diri bila beroleh ni'mat dan menyesal bila ditimpa bala. Bila ditimpa bala bersungguh-sungguh dia berdoa meminta pertolongan dari ALLAH S.W.T akan tetapi bila beroleh kejayaan dia lupa akan ALLAH S.W.T.

Dia begitu yakin dengan apa yang dirasakannya, akan tetapi tidak yakin dengan apa yang telah diyakininya.

Mereka selalu menyuruh orang lain mengambil iktibar, akan tetapi dia tidak mahu mengambil iktibar.

Mereka berlebih-lebih dalam memberi nasihat, akan tetapi mereka tidak mahu menerima nasihat orang lain.

Di hadapan orang lain berpura-pura tidak mahu berbuat maksiat, tetapi bila di belakang mereka ialah kaum maksiat.

Di depan orang ramai mereka menunjuk-nunjuk bahawa merekalah yang paling banyak mengerjakan keta'atan, tetapi di belakang merekalah orang yang paling malas.

Mereka lebih suka berpoya-poya dengan orang kaya daripada bermesra dengan orang miskin.

Mereka menghukum sesuatu untuk hanya untuk orang lain, tetapi tidak untuk dirinya.

Selalu memberi tunjuk ajar, tetapi mereka sendiri yang tidak mahu berbuat sedemikian.

Di depan orang ramai mereka mengatakan bahawa mereka takut kepada ALLAH S.W.T tetapi di belakang mereka berkelakuan sebaliknya.

Maka janganlah kamu tergolong di antara mereka!”